Nuffnang

Saturday 23 February 2013

Mengapa Harus Ada Dengki?


  Memang tidak dinafikan, ada segelintir manusia ini memang tidak suka melihat kebahagaian , kesenangan orang lain.  Jika sudah menyimpan perasaan hasad dengki itu, memang akan ada sahaja yang seseorang itu akan cuba lakukan sampailah sesuatu perkara itu akan musnah. Saya ingin berkongsi dengan anda tentang tiga orang budak hitam yang hidup sebagai sahabat. Namun di pengakhiran cerita, rupa-rupanya salah seorang daripada mereka menyimpan perasaan dengki terhadap orang lain. Ikuti kisah di bawah ini.


Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.
Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata ” Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu”


Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, ” Pintalah!” Budak hitam pertama pun berkata . “Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik” Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,”Pintalah!”.
Budak hitam kedua pun berkata .” Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama”. Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih dan cantik lebih daripada budak yang pertama. Jin pun berkata kepada budak hitam ketiga, “Pintalah!”. Budak hitam ketiga pun berkata .”Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama dan kedua”.

Jin pun berkata. ” Tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan. Pintalah yang lain…” Budak hitam ketiga kehairanan dan terfikir-fikir apa yang mahu dipintanya.
Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun berkata ” Kalau begitu, aku pinta kau hitamkan kembali rakan aku yang dua orang itu” Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin pun berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang dan tidak memperolehi sesuatu apa pun.

Moral:
Sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Sikap ini sebenarnya pada akhirnya merugikan manusia sendiri.

Thursday 21 February 2013

Sedih: Pengorbanan Kekasih


“abang…tolong dtg umah segera, urgent”.
Hakim baca sms sepantas kilat. Terus kol balik phone Ina. Tak berjawab..
Hakim cemas. Tak pernah Ina hantar sms macam tu. Hakim kelam kabut
hidupkan enjin kereta.

Dia risaukan kekasih tersayangnya itu. Macam-macam dalam kepalanya waktu
itu. Dia kenal Ina sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Keluarganya
berjiran
dengan keluarga Ina. Dari kecik mereka bermain bersama, kalau main
masak-masak dia sanggup bertumbuk dengan Farok semata-mata nak jadi
bapak
kerana Ina mesti jadi mak. Pernah Farok cakap dia pondan sebab sentiasa

bermain dengan Ina waktu Farok dan Saleh ajak main askar-askar. Dia ajak
jugak Ina main askar-askar tapi Ina cakap budak pompuan mana boleh main
permainan kasar-kasar macam tu. Sebab itulah dia sukakan Ina, lembut,
penyayang dan penuh ciri-ciri keperempuanan.

Bila masuk sekolahpun, dia dan Ina berbasikal sama-sama ke sekolah.
Walaupun Farok dan Saleh selalu kutuk bila dia tak mahu ‘racing bmx’
dengan depapun dia tak kisah. Dia rela dikutuk oleh kawan-kawan daripada
meninggalkan Ina kayuh basikal sorang-sorang.

Dia pernah kena belasah sampai lebam bijik mata oleh ‘Husin and the
gang’ yang mengganggu Ina masa darjah tiga… Waktu darjah 4, bila dia
mula lancar tulis baca dan tahu berpantun sikit-sikit diapun tulis surat
kpd Ina “Pen merah pen biru, U baca I love U’ bersama sebijik gula-gula
Hacks sebagai hadiah harijadi Ina…gara-gara surat itulah dia jelingan
tajam Mak Ropiah ibunya Ina
yang terjumpa surat itu waktu menyemak buku
sekolah Ina. Mak Ropiah memberitahu hal itu kepada ibunya, dan hasilnya
dia
terpaksa menadah telinga menahan leteran maknya. Nasib baik bapak tak
tahu,
kalau tidak naya.

Hakim gelak sorang-sorang waktu teringatkan peristiwa itu tapi
fikirannya kembali cemas mengingatkan sms Ina tadi. Sudah hampir 15 kali
dia cuba hubungi telefon Ina tapi masih tidak berjawab. Dia amat risau
kala
itu, fikirannya menelah perkara yang buruk-buruk saja.

Dia risau kerana Ina tinggal seorang diri. Rakan serumah Ina, si Baizura
sedang bekerja kala itu. Dia tahu, Ina kerja shift pagi tadi, Baizura
kerja
shift malam. Dia risau kerana panggilannya tidak berjawab.

Dia risau takut-takut rumah Ina dimasuki penyamun yang memang
menjadi-jadi akhir-akhir ini. Baru-baru ni, ada rumah di kawasan
perumahan Ina dimasuki perompak.. Dia berdoa jika rumah Ina dimasuki

perompak sekalipun janganlah kekasih hatinya itu diapa-apakan, ambiklah
barang apa saja yang mereka mahu asalkan Ina tidak diapa-apakan. Dia
berdoa
sungguh-sungguh.

Dia bercinta dengan Ina sejak darjah 6 lagi, sejak dia mengerti apa itu
baligh bagi seorang laki-laki dan perempuan. Hingga sekarang mereka
masih
bercinta. Kasihnya pada Ina dah macam Gunung Everest, tak
tergoyahkan. Jika tak ada aral melintang hujung tahun ini keluarganya
akan masuk meminang Ina. Ina akan menjadi surinya yang sah dan dia tak
mahu apa-apa yang buruk terjadi kepada bakal isterinya itu.

Keretanya memecut laju memasuki kawasan perumahan Ina. Sebaik berhenti
di depan rumah Ina Hakim terpa keluar dari kereta. Dia lompat pagar
rendah rumah Ina. Dia terpa ke pintu sambil jerit “Ina, Ina”. Dia pulas
tombol pintu, pintu tak berkunci. Dia betul-betul cemas. Dia ketuk pintu
bilik Ina.. Dia dengar esakan Ina. Ina
menangis. Hakim makin cemas. Dia
ketuk lagi pintu bilik Ina sambil panggil nama Ina. Hakim tak boleh
bersabar lagi, dia pulas tombol pintu bilik Ina. Juga tak berkunci. Dia
masuk bilik Ina, dia tengok Ina teresak-esak atas katil. Rambut Ina
kusut
masai, Ina tekup muka sambil menangis.

“Ina, apa yang terjadi sayang” Hakim cuba pujuk Ina. Ina masih dalam
sendu. “hu…hu…”

” Ina, cakap kat abang elok-elok, apa yang dah jadi”
“Hu..hu”
Hakim dah tak sabar, dia dah tak peduli walau apapun yang akan keluar
dari mulut Ina. Dia akan terima walau seburuk manapun berita yang akan
keluar dari mulut Ina.

Hakim goncang bahu Ina. “Ina, what hell is going on…tell me!!” Suara
Hakim kuat kali ini.

Ina berenti menangis, Ina tatap wajah Hakim, Ina renung mata Hakim.
“Bang, Ina lapar, nak makan nasik. Duit gaji tak masuk lagi.”

Thursday 14 February 2013

Gempar! Buaya Terbesar Dunia Ditemui Mati




  Jika anda pernah berkunjung ke Taman Buaya, Ayer Keroh Melaka, sudah pasti kita akan dapat melihat seekor buaya yang agak besar di bahagian pintu hadapan. Itu sebenarnya seekor buaya yang telah lama mati dan kemudiannya diawetkan untuk tujuan pameran. Inilah yang bakal dihadapi oleh seekor buaya air masin paling besar di dunia apabila ditemui mati dalam di sebuah kolam. Bangkainya kemudian di bawa ke sebuah tempat untuk tujuan diawetkan.

Manila: Buaya yang diiktiraf sebagai buaya air masin paling besar di dunia mati kelmarin selepas ditemui dalam keadaan terlentang dengan perut kembung di sebuah di kolam di taman eko pelancongan Bunawan kelmarin.
Datuk Bandar Bunawan, Edwin Cox Elorde berkata buaya yang dikenali sebagai Lolong, mengambil sempena nama salah seorang pegawai hidupan liar yang mati ketika dalam perjalanan ke Bunawan, menjadi tarikan utama pelancong sejak ditangkap 17 bulan lalu. Kematiannya mencetuskan perasaan sedih dan suasana murung di kalangan penduduk tempatan.

Bangkai Lolong ditutup dengan ais di pusat pemuliharaan di Bunawan, manakala gambar kecil, Lolong ketika ditangkap pada September 2011. – Foto REUTERS
Ketika bercakap pada sidang akhbar di wilayah Agusan del Sur kelmarin, Elorde berkata pihaknya bercadang mengadakan upacara khas sebelum bangkai Lolong diawet di sebuah muzium tempatan sebagai peringatan.

Seluruh bandar dan wilayah ini bersedih dengan kematian Lolong, katanya yang menambah, buaya berkenaan berusia kira-kira 50 tahun.
Guinness World Records mengisytiharkan Lolong sebagai buaya air masin dalam kurungan terbesar di dunia dengan ukuran 6.17 meter (20.24 kaki), mengatasi seekor buaya Austrlia panjangnya lima meter (17 kaki) dan berat hampir satu tan. AP

Friday 8 February 2013

Renungan Jumaat: Subhanallah! Bidadari Dari Syurga Buat Saidina Umar


   Siapa yang tidak kenal dengan perwatakan Khalifah Umar Al-Khattab yang begitu tegas terhadap kepimpinannya. Nabi Muhammad SAW pernah menceritakan tentang seorang bidadari di syurga. Bidadari tersebut telah diciptakan Allah SWT khas buat Saidina Umar r.a. Kita juga tertanya-tanya bagaimanakah wajah bidadari di syurga nanti. Semua itu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Apa yang kita perlu lakukan adalah sentiasa beribadah dengan ikhlas kepada Allah SWT.

Umar r.a. adalah salah satu dari sahabat Rasulullah SAW. Semenjak ia memeluk islam kaum muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Sejak itulah mereka berani solat dan tawaf di kaabah secara terang-terangan. Umar r.a. adalah seorang yang warak, ia sangat teliti dalam mengamalkan Islam. Umar r.a. mempelajari surah Al-Baqoroh selama 10 tahun, ia kemudian melapor kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW apakah kehidupanku telah mencerminkan surah Al-Baqoroh, apabila belum maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya”.
Rasulullah SAW menjawab, “Sudah…”!. Umar r.a. mengamalkan agama sesuai dengan kehendak Allah SWT. Karena kesungguhannya inilah maka banyak ayat di Al-Qur’an yang diturunkan Allah SWT berdasarkan kehendak yang ada pada hatinya, seperti mengenai pengharaman arak, ayat mengenai hijab, dan beberapa ayat Al-Qur’an lainnya.
Rasulullah SAW seringkali menceritakan kepada para sahabatnya mengenai perjalannya mi’raj menghadap Allah SWT. Beliau SAW sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada sahabat-sahabatnya. Suatu hari ketika Rasulullah SAW dimi’rajkan menghadap Allah SWT malaikat Jibril AS memperlihatkan kepada Beliau SAW taman-taman syurga. Rasulullah SAW melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bercengkerama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeda dari yang lainnya.
Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril AS, “Wahai Jibril AS bidadari siapakah itu?”. Malaikat Jibril AS menjawab, “Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar r.a.“. Pernah suatu hari ia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeda dari bidadari yang lainnya. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah, dan bagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Karana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah SWT maka saat itu juga Allah SWT menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya”.

Thursday 7 February 2013

Lamanya! Rambo Bentong Dipenjara 115 tahun


 Jangan terkejut jika ada pesalah yang dihukum penjara sehingga beratus tahun lamanya. Memang menarik perhatian penjara beratus tahun berbanding dipenjarakan seumur hidup. Lelaki ini yang bergelar Rambo Bentang bakal dijatuhkan hukuman penjara 115 tahun akibat kesalahan merogol yang melibatkan remaja dan kanak-kanak. Ia merupakan satu perbuatan yang sangat kejam. Semoga dengan hukuman ini, dirinya akan kembali ke jalan Allah.

RAUB – Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan ke atas Rabidin Satir, 43, bagi empat kesalahan rogol serta satu kes liwat, semalam.

Rabidin atau dikenali dengan gelaran ‘Rambo Bentong’ tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan bersahaja memasuki kandang tertuduh.

Sebanyak tiga kenderaan polis memantau perjalanannya dari Bentong yang turut disertai Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.

Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan demi pertuduhan, Rabidin mengaku bersalah terhadap kesalahan rogol pada 9 Julai 2009 antara jam 2 pagi dan 3 pagi dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri Marong, Bentong, melibatkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 5 bulan.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan itu diakui benar oleh Rabidin termasuk ketika gambar kes ditunjukkan kepadanya.

Bagi kes kedua, Rabidin mengaku bersalah melakukan jenayah rogol pada 21 Jun 2010 antara jam 1 pagi dan 3 pagi dalam bilik di KM5, Jalan Kuala Lumpur – Bentong, melibatkan mangsa, remaja berusia 17 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu juga diakui benar selepas Juru Bahasa Mahkamah menunjukkan gambar kes kepadanya.

Rabidin juga mengaku bersalah bagi kes ketiga melibatkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi pada 29 April tahun lalu.

Sementara itu, Rabidin turut mengaku bersalah bagi kes keempat melibatkan mangsa, remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan liwat dalam bilik sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi.

Ketika diberi peluang berbicara, Rabidin mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan dan berharap agar diampunkan dunia akhirat.

Rabidin juga memohon maaf atas kesalahan bagi kes kedua kerana ia dilakukan dalam keadaannya khayal dan mabuk.

Dia turut meminta agar mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atasnya bagi kes pertama dan kedua.

Bagaimanapun, Rabidin bertindak mendiamkan diri dan tidak mahu memohon sebarang rayuan ketika diberi peluang untuk kes ketiga, keempat dan kelima.

Hakim Murtazadi Amran membacakan hukuman yang dijalankan secara berasingan iaitu masing-masing 25 tahun penjara dan 10 sebatan bagi empat kesalahan rogol, sementara kesalahan liwat pula dikenakan 15 tahun penjara serta 10 sebatan.

Secara keseluruhannya, Rabidin perlu menjalani hukuman 115 tahun penjara dan 50 sebatan bagi keseluruhan kes yang diputuskan semalam.

Dalam perkembangan lain, Rabidin turut hadapi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota polis pada hari dia ditangkap 14 November tahun lalu berhampiran Taman Syahbandar Hussain, Bentong.

Rabidin dituduh mencederakan anggota polis dengan senjata miliknya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Wednesday 6 February 2013

Benarkah PSY Akan Mengadakan Persembahan Di Pulau Pinang?


  Sekarang ini di laman-laman blog sedang kecoh memperkatakan tentang Malaysia bakal menerima kehadiran penyanyi yang kini hangat di dunia dengan lagunya Oppa Gangnam Style iaitu PSY. Kehadiran ke Malaysia adalah bertujuan membuat persembahan sempena sambutan perayaan sambutan tahun baru Cina yang bakal diadakan pada 11 Februari ini di Pulau Pinang. Pada mulanya  ia sebagai satu khabar angin, namun setelah mendapat maklumat dari laman web media kerajaan iaitu RTM, maka ternyata benar PSY bakal bertandang ke Malaysia. Bagaimanapun, segelintir masyarakat beranggapan, jemputan beliau ke Malaysia dianggap membazir kerana ia menelan kos yang terlalu tinggi.


Kuala Lumpur – Dijangka Psy penyanyi popular “Gangnam Style” yang mencetus fenomena di seluruh dunia akan mengadakan persembahan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang pada 11 Februari ini.
Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal diadakan di padang sekolah Han Chiang ini dijangkakan dihadiri lebih 60 ribu tetamu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini Psy turut pernah membuat persembahan di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Rumah terbuka tersebut dijangka bermula dari jam 10 pagi sehingga 1 petang.

Tuesday 5 February 2013

Tragedi! Dendam Seekor Gajah Rempuh Kereta Api Di Perak


Suatu ketika dahulu mungkin kita pernah dengar tentang beberapa ekor gajah yang mati dipercayai diracun (LINK). Tidak mustahil, jika ada keluarga gajah tersebut yang masih menyimpan dendam atas kematian keluarga mereka. Ini yang pernah berlaku suatu ketika dahulu pada tahun 1894 di Perak. Seekor gajah bersama sekumpulan yang lain bertindak merempuh gerabak kereta api yang sedang meluncur laju. Rempuhan ini dipercayai bermotifkan dendam akibat anaknya yang pernah mati dilanggar suatu ketika dahulu. Kejadian ini telah menyimpan satu sejarah sehingga direkodkan dalam muzium. Ikuti kisah tentang dendam seekor gajah ini.

Zaman sebelum dan selepas merdeka, ketenteraman negara sering diganggu, termasuk ancaman pengganas komunis yang menuntut hak untuk memerintah negara melalui kekerasan dan kekejaman.
Mereka melakukan pelbagai ancaman seperti memusnahkan harta benda, kemudahan awam, perhubungan seperti jalan raya, jambatan serta laluan kereta api. Semuanya bertujuan menakutkan rakyat serta melumpuhkan kekuatan pasukan keselamatan.
Namun, di sebalik kejadian itu, sistem perkhidmatan kereta api yang kini dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pernah beberapa kali melalui serangan luar jangkaan yang mengakibatkan kematian dan kerosakan.
Serangan luar jangkaan itu ialah daripada sekumpulan gajah yang naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kenderaan yang meluncur laju di landasan, semata-mata mahu membalas dendam termasuk kejadian yang berlaku kira-kira 114 tahun dulu.

Kejadian itu kekal dalam lipatan sejarah KTMB hingga sekarang dan juga sejarah negara amnya membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur.
Serangan itu berlaku pada 1894, apabila kereta api wap membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.
Sebaik tiba di Teluk Anson (kini Teluk Intan), kereta api yang dipandu seorang warga Inggeris itu diserang seekor gajah jantan yang sememangnya menunggu di situ bersama kumpulan sekawan gajah lain lalu merempuhnya secara berdepan.
Pegawai Muzium KTMB, Kamalul Arifin Muhamad, 56, berkata, akibat rempuhan itu, kereta api tergelincir dan beberapa gerabak terkeluar dari landasan.
Mengikut penduduk kampung, dua pekerja kereta api warga India yang berada di dalamnya meninggal dunia, mungkin akibat kecederaan ketika kereta api terbalik.



Seorang lelaki Inggeris berdiri di atas bangkai gajah jantan yang mati selepas merempuh keretapi di Teluk Intan, Perak pada 1894.
Gajah jantan itu memang besar, lebih tinggi daripada gerabak kereta api. Mengikut cerita lisan, kami percaya gajah jantan itu mengamuk sebab sebelum kejadian itu, anaknya mati dirempuh kereta api di kawasan sama,katanya.
Beliau berkata, gajah memang dikenali antara binatang yang memang pantang atau terlalu sensitif melihat lampu pada waktu malam. Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku pada waktu senja, antara jam 5 hingga 7 petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di kawasan hutan.
Kamalul berkata, ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu memang dipandu laju antara 40 hingga 50 batu sejam (kilometer) dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap.

Akibat rempuhan kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Tengkorak kepala gajah disimpan di Muzium Taiping, Perak dan tulang pahanya masih disimpan muzium KTMB manakala gadingnya difahamkan dibawa pulang ke England.
Tulang paha gajah jantan setinggi kira-kira hampir semeter itu masih disimpan elok dan dipamerkan di ruang legar mini muzium KTMB di ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.
Pengunjung boleh melihat sendiri tulang itu serta mendapat maklumat ringkas mengenai kejadian. Di situ juga terdapat gambar seorang saudagar Inggeris berdiri di atas bangkai gajah di tempat kejadian.
Mini muzium KTMB itu ditubuhkan sejak tahun lalu sempena sambutan kemerdekaan negara ke-50 tahun bagi memberi maklumat dan peluang kepada penumpang mendapatkan maklumat sejarah KTMB serta pelbagai peralatan yang pernah digunakan.

Mengulas mengenai persiapan pengurusan menghadapi kejadian seperti itu dan juga serangan komunis, Kamalul berkata, pada awal 1950-an, KTMB menggunakan khidmat pasukan peninjau dikenali Armor Wichan Trolley yang bergerak pada kedudukan kira-kira 500 meter di depan kereta api utama.
Jika berlaku masalah kerosakan, hadangan binatang atau serangan komunis, kenderaan itu yang lengkap bersenjata akan menanganinya membolehkan kereta api utama sempat berhenti,katanya.
Namun, katanya ketika ini, masih juga berlaku kejadian kereta api merempuh gajah melintas landasan terutama di laluan ke Pantai Timur dan terbaru berlaku berhampiran Kuantan, Pahang. Seekor gajah yang dirempuh pada 27 Mei 2007 kira-kira jam 4.50 pagi lalu lumpuh selama dua hari sebelum mati.

INFO: Kereta api KTMB
* Gajah amat sensitif melihat cahaya lampu atau mendengar bunyi
hon kereta api.
* Kereta api wap yang terbabit dalam rempuhan gajah itu sama seperti model kereta api yang dipamerkan di Muzium Negara.

Monday 4 February 2013

Sedih! Disebalik Kisah Tirai Besi Banduan 650


  Tidak ramai yang tahu tentang kisah sebenar seorang banduan yang dikenali sebagai banduan 650 ini. Namun coretan perjalanan hidupnya cukup menyedihkan kerana dirinya telah dizalimi oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Seorang yang berpendidikan tinggi dan merupakan seorang hafizah al-Quran dan sudah mempunyai anak. Namun tiba-tiba diri dan anak-anaknya hilang. Wanita yang dikenali sebagai Dr Aafia ini sebenarnya telah dipenjarakan malah turut diseksa dan dirogol. Ya Allah, kejamnya mereka!

Pada bulan Ramadhan 2011, si ibu menerima panggilan telefon dari Aafia yang terpenjara di Amerika . Ibunya pun menangis bila terkenangkan nasib cucunya harus melalui penderitaan, cucu lelakinya masih hilang, dan anak perempuannya masih tidak jelas bila akan bebasnya, kecuali dengan redha Allah.
Tahukah apa yang Aafia katakan kepada ibunya?

“Wahai ibu janganlah menangis, saya gembira!” (Subhanallah, kenapa dia gembira?) “Wahai ibu, setiap malam dalam mimpiku Rasulullah SAW mengunjungiku. Lalu Rasulullah SAW mengajakku untuk menemui isterinya Aisyah ra, dan mengenalkannya kepada isterinya dan beliau berkata pada Aisyah.. inilah puteriku Aafia..” Subhanallah. ( rujuk: tausyah.wordpress.com )

Siapakah Aafia?

Dr. Aafia Siddiqui dilahirkan di Pakistan dan menjadi rakyat Amerika merupakan satu-satunya saintis neurologi di dunia yang mempunyai PHD dari Universiti Harvard. Juga mempunyai 144 sijil dan ijazah kehormat dari institusi serata dunia termasuk dari MIT. Beliau juga seorang hafizah al-Quran dan seorang mujahidah. Tiada seorang wanita barat yang setara dan setanding dengan pendidikan beliau.

Beliau diculik bersama 3 orang anak kecilnya selama 5 tahun tanpa khabar berita sehinggalah 4 orang tahanan Bagram yang berjaya melarikan diri mendedahkannya tentang banduan 650 yang tidak ketahui namanya. Mereka hanya mengetahui dia adalah seorang wanita Pakistan dan seorang ibu yang dipisahkan dari anak-anaknya dan setiap hari mereka akan mendengar wanita tersebut menjerit akibat diseksa. Seterusnya Yvonne Ridley seorang wartawan Britain mendedahkannya secara besar-besaran di sidang wartawan tentang siapa sebenar banduan 650. Sejak dari itu seluruh dunia ingin tahu apa yang telah terjadi kepada Dr. Aafia dalam tempoh 5 tahun tersebut dari 2003-2008 dan apa kesalahan beliau dan kenapa tidak dibicarakan. Penipuan Amerika tentang tiadanya banduan wanita di penjara Bagram akhirnya terbongkar bersama skrip-skrip bodoh untuk meyelamatkan maruah FBI Amerika.

Semasa di dalam tahanan di Bagram beliau diseksa dan dirogol setiap hari dan dinafikan haknya sebagai seorang wanita. Dipaksa menggunakan tandas lelaki dan bilik mandi yang terdedah dan boleh dilihat oleh pengawal-pengawal penjara. Situasi beliau sepanjang penahanan tersebut amat meyedihkan sehingga beliau hilang ingatan. Nasib anak-anaknya selama 5 tahun tersebut juga tidak diketahui oleh sesiapa sehingga sekarang.
Sehingga kini tiada dakwaan tentang kegiatan beliau bersama Al-Qaeda oleh pihak Amerika hanya melainkan dakwaan cubaan membunuh seorang askar Amerika dan FBI semasa di dalam tahanan di Afghanistan. Amat pelik apabila perbicaraan ini dilakukan di Amerika sedangkan kesalahan tersebut dilakukan di Afghnistan. Juga tiada bukti yang beliau melakukan cubaan bunuh melainkan beliau ditembak di perutnya sesama di dalam tahanan oleh askar Amerika kononnya untuk keselamatan diri.

Aafia kekal di pusat tahanan Amerika di New York, dengan keadaan tahap kesihatan yang amat teruk, beliau juga sering dihadapkan dengan penghinaan yang memalukan, dibogelkan dan di siasat seluruh rongga dengan cara yang amat menghinakan setiap kali beliau menerima pelawat secara sah ataupun selepas muncul di mahkamah. Beliau kemudiannya menolak untuk berjumpa dengan para peguambela beliau. Satu laporan juga menyatakan bahawa beliau berkemungkinan menghidap kerosakan sel-sel otak dan sebahagian dari usus kecil beliau telah dipotong dan dibuang. Peguamnya berkata bahawa Aafia menunjukkan gejala-gejala yang konsisten dengan penghidap Tekanan Perasaan Disebabkan Trauma (Post Traumatic Stress Disorder).
Sekarang tahun 2013, tiada kata pembebasan untuk saudari seIslam kita ini.

Tiada apa yang mampu kita lakukan. Hanya doakan yang terbaik buat beliau. Moga Allah menolong bukan sahaja beliau, malahan tahanan2 Muslim dan Muslimat di penjara2 Yahudi di luar sana. Andai beliau mati di dalam penjara dalam keadaan dianayai sedemikian rupa, mati beliau adalah mati syahid.
“Ya Allah! Tolonglah mereka yang dizalimi. Tolonglah kami umat Islam! Aamiiin.”

Friday 1 February 2013

Renungan Jumaat: Kisah Nabi Musa Dengan Penzina




Pada suatu senja yang lenggang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam keadaan yang berdukacita. Tudungnya hampir menutup seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menghiasi tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan rauk wajahnya yang ayu, tidak dapat menghapuskan kesan kepedihan yang dialaminya. Dia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam “Silakan masuk”.

Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai ketika mula berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”

“Apakah dosamu wahai wanita?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut.

“Saya takut mengatakannya.” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.

Maka perempuan itupun berkata, “Saya… telah berzina."

Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya telah hamil. Setelah anak itu lahir, terus saya cekik lehernya sampai mati,” ucap wanita itu lalu menangis teresak-esak. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, “Perempuan celaka, pergi kamu dari sini! Agar bala dari Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah keluar. Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu harus kemana lagi hendak mengadu. Dia tidak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Dia tidak tahu bahawa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa.

Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?” Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?” Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?”

“Ada!” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Musa a.s. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk berjumpanya kembali. Nabi Musa memohonkan ampun kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa menyesal adalah sama seperti mengakui bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak mempunyai hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh memberikan maksud yang dia masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahawa Allah itu berhak keatas dirinya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.

Malah dalam satu hadis Nabi s.a.w. berkata 

“sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka ia kafir terang-terangan” 
(H.R. Atthabarani)

Dalam hadis Nabi s.a.w. disebutkan: 

“Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka’bah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.”


Sujudlah kepadaNya tanpa alasan

Al-Ghazzali berkata: “Jika ada orang berkata, bahawa ia telah mencapai satu tingkat disisi Allah s.w.t. hingga ia tidak wajib sembahyang, maka tidak ragu dibunuh orang itu, dan membunuh orang yang seperti itu lebih afdal dari pada membunuh 100 orang kafir.”

Ahmad bin Hanbal berkata: “Tidak sah berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang, tetapi dalam mazhab kami, berkahwin dengan wanita kitabiyah dzimmiyah lebih baik daripada berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang.”

Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita penzina, mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.