Jangan terkejut jika ada pesalah yang dihukum penjara sehingga beratus tahun lamanya.
Memang menarik perhatian penjara beratus tahun berbanding dipenjarakan seumur
hidup. Lelaki ini yang bergelar Rambo Bentang bakal dijatuhkan hukuman penjara
115 tahun akibat kesalahan merogol
yang melibatkan remaja dan kanak-kanak. Ia merupakan satu perbuatan
yang sangat kejam. Semoga dengan hukuman ini, dirinya akan kembali ke jalan
Allah.
RAUB – Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman
115 tahun penjara dan 50 sebatan ke atas Rabidin Satir, 43, bagi empat kesalahan rogol
serta satu kes liwat, semalam.
Rabidin atau dikenali dengan gelaran ‘Rambo Bentong’
tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi kelihatan tenang dan
bersahaja memasuki kandang tertuduh.
Sebanyak tiga kenderaan polis memantau
perjalanannya dari Bentong yang turut disertai Ketua Polis Daerah Bentong,
Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.
Selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan
demi pertuduhan, Rabidin mengaku bersalah terhadap kesalahan rogol pada 9
Julai 2009 antara jam 2 pagi dan 3 pagi dalam bilik sebuah rumah di Taman Sri
Marong, Bentong, melibatkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 5
bulan.
Kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 (2)(e)
Kanun Keseksaan itu diakui benar oleh Rabidin termasuk ketika gambar kes
ditunjukkan kepadanya.
Bagi kes kedua, Rabidin mengaku bersalah
melakukan jenayah rogol pada 21 Jun 2010 antara jam 1 pagi dan 3 pagi dalam
bilik di KM5, Jalan Kuala Lumpur – Bentong, melibatkan mangsa, remaja berusia 17 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun
Keseksaan itu juga diakui benar selepas Juru Bahasa Mahkamah menunjukkan gambar
kes kepadanya.
Rabidin juga mengaku bersalah bagi kes ketiga
melibatkan jenayah rogol kanak-kanak berusia 8 tahun 2 bulan di tepi sungai
belakang rumah dekat Ketari, Bentong antara jam 12.30 pagi hingga 1.30 pagi
pada 29 April tahun lalu.
Sementara itu, Rabidin turut mengaku bersalah
bagi kes keempat melibatkan mangsa, remaja berusia 16 tahun 5 bulan iaitu rogol dan
liwat dalam bilik sebuah rumah di Ketari, Bentong antara jam 1
pagi dan 2.30 pagi.
Ketika diberi peluang berbicara, Rabidin
mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan dan
berharap agar diampunkan dunia akhirat.
Rabidin juga memohon maaf atas kesalahan bagi kes
kedua kerana ia dilakukan dalam keadaannya khayal dan mabuk.
Dia turut meminta agar mahkamah mengurangkan hukuman yang
dikenakan ke atasnya bagi kes pertama dan kedua.
Bagaimanapun, Rabidin bertindak mendiamkan diri
dan tidak mahu memohon sebarang rayuan ketika diberi peluang untuk kes ketiga,
keempat dan kelima.
Hakim Murtazadi Amran membacakan hukuman yang
dijalankan secara berasingan iaitu masing-masing 25 tahun penjara dan 10
sebatan bagi empat kesalahan rogol, sementara kesalahan liwat pula dikenakan 15
tahun penjara serta 10 sebatan.
Secara keseluruhannya, Rabidin perlu menjalani hukuman 115 tahun penjara
dan 50 sebatan bagi keseluruhan kes yang diputuskan semalam.
Dalam perkembangan lain, Rabidin turut hadapi
pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh anggota
polis pada hari dia ditangkap 14 November tahun lalu berhampiran Taman
Syahbandar Hussain, Bentong.
Rabidin dituduh mencederakan anggota polis dengan
senjata miliknya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman
sehingga 20 tahun penjara.
Mahkamah menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh
sebutan semula kes itu.
No comments:
Post a Comment