Suatu ketika dahulu mungkin kita pernah dengar tentang beberapa ekor gajah yang
mati dipercayai diracun (LINK). Tidak mustahil, jika ada keluarga
gajah tersebut yang masih menyimpan dendam atas kematian keluarga mereka.
Ini yang pernah berlaku suatu ketika dahulu pada tahun 1894 di Perak. Seekor gajah bersama sekumpulan
yang lain bertindak merempuh gerabak kereta api yang sedang
meluncur laju. Rempuhan ini dipercayai bermotifkan dendam akibat anaknya yang
pernah mati dilanggar suatu ketika dahulu. Kejadian ini telah menyimpan satu sejarah sehingga
direkodkan dalam muzium. Ikuti kisah tentang dendam seekor gajah
ini.
Zaman sebelum dan selepas merdeka, ketenteraman
negara sering diganggu, termasuk ancaman pengganas komunis yang menuntut hak
untuk memerintah negara melalui kekerasan dan kekejaman.
Mereka melakukan pelbagai ancaman seperti
memusnahkan harta benda, kemudahan awam, perhubungan seperti jalan raya,
jambatan serta laluan kereta api. Semuanya bertujuan menakutkan rakyat serta
melumpuhkan kekuatan pasukan keselamatan.
Namun, di sebalik kejadian itu, sistem
perkhidmatan kereta api yang kini dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pernah
beberapa kali melalui serangan luar jangkaan yang mengakibatkan kematian dan
kerosakan.
Serangan luar jangkaan itu ialah daripada sekumpulan gajah yang
naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kenderaan yang meluncur laju di
landasan, semata-mata mahu membalas dendam termasuk kejadian
yang berlaku kira-kira 114 tahun dulu.
Kejadian itu kekal dalam lipatan sejarah KTMB
hingga sekarang dan juga sejarah negara amnya membabitkan perjalanan kereta api
penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur.
Serangan itu berlaku pada 1894, apabila kereta
api wap membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada
saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi
perlombongan di Perak.
Sebaik tiba di Teluk Anson (kini Teluk Intan),
kereta api yang dipandu seorang warga Inggeris itu diserang seekor gajah
jantan yang sememangnya menunggu di situ bersama kumpulan sekawan gajah lain
lalu merempuhnya secara berdepan.
Pegawai Muzium KTMB, Kamalul Arifin Muhamad, 56,
berkata, akibat rempuhan itu, kereta api tergelincir dan beberapa gerabak
terkeluar dari landasan.
Mengikut penduduk kampung, dua pekerja kereta api
warga India yang berada di dalamnya meninggal dunia, mungkin akibat kecederaan
ketika kereta api terbalik.
Seorang lelaki Inggeris berdiri di atas bangkai
gajah jantan yang mati selepas merempuh keretapi di Teluk Intan, Perak pada
1894.
Gajah jantan itu memang besar, lebih tinggi
daripada gerabak kereta api. Mengikut cerita lisan, kami percaya gajah jantan
itu mengamuk sebab sebelum kejadian itu, anaknya mati dirempuh kereta api di
kawasan sama,katanya.
Beliau berkata, gajah memang dikenali antara
binatang yang memang pantang atau terlalu sensitif melihat lampu pada waktu
malam. Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku pada waktu senja, antara jam 5 hingga 7
petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di kawasan hutan.
Kamalul berkata, ketika kejadian, kereta api
berkuasa wap itu memang dipandu laju antara 40 hingga 50 batu sejam (kilometer)
dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap.
Akibat rempuhan kuat secara berdepan, gajah
jantan itu mati di tempat kejadian. Tengkorak kepala gajah disimpan di Muzium
Taiping, Perak dan tulang pahanya masih disimpan muzium KTMB manakala gadingnya
difahamkan dibawa pulang ke England.
Tulang paha gajah jantan setinggi kira-kira
hampir semeter itu masih disimpan elok dan dipamerkan di ruang legar mini
muzium KTMB di ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.
Pengunjung boleh melihat sendiri tulang itu serta
mendapat maklumat ringkas mengenai kejadian. Di situ juga
terdapat gambar seorang saudagar Inggeris berdiri di atas bangkai gajah di
tempat kejadian.
Mini muzium KTMB itu ditubuhkan sejak tahun lalu
sempena sambutan kemerdekaan negara ke-50 tahun bagi memberi maklumat dan
peluang kepada penumpang mendapatkan maklumat sejarah KTMB serta pelbagai
peralatan yang pernah digunakan.
Mengulas mengenai persiapan pengurusan menghadapi kejadian seperti itu dan juga serangan komunis, Kamalul berkata, pada awal 1950-an, KTMB menggunakan khidmat pasukan peninjau dikenali Armor Wichan Trolley yang bergerak pada kedudukan kira-kira 500 meter di depan kereta api utama.
Jika berlaku masalah kerosakan, hadangan binatang atau
serangan komunis, kenderaan itu yang lengkap bersenjata akan menanganinya
membolehkan kereta api utama sempat berhenti,katanya.
Namun, katanya ketika ini, masih juga berlaku
kejadian kereta api merempuh gajah melintas landasan terutama di laluan ke
Pantai Timur dan terbaru berlaku berhampiran Kuantan, Pahang. Seekor gajah yang dirempuh
pada 27 Mei 2007 kira-kira jam 4.50 pagi lalu lumpuh selama dua hari sebelum
mati.
INFO: Kereta api KTMB
* Gajah amat sensitif melihat cahaya lampu atau
mendengar bunyi
hon kereta api.
hon kereta api.
* Kereta api wap yang terbabit dalam rempuhan
gajah itu sama seperti model kereta api yang dipamerkan di Muzium Negara.
No comments:
Post a Comment