Bagaimanapun masih ada sedikit tipudaya yang sering kita leka...
Mari kita ketahui sejarah ad-Dajjal serba sedikit, dan apa kata Rasulullah tentangnya...
SEJARAH AD-DAJJAL
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais
mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk
solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai
solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda
tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas
sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu
jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu
berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira.
Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang
Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita
kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai
dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan
menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke
tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke
pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka
terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak
ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya
sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?”
Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu
Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah
kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin
berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang
itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan
tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya
sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke
telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu
menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin
bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi
ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke
tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan.
Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal
bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia
katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah
berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang
sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:
“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di
negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar
itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka
menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut
pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang
sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki
itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya
tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu
ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka
menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya
lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia
diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa
pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w
telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka
beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku
terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi
izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh
malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak
dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka
aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan
tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat
dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku
sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan
saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada
kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat
dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman.
Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w
sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang
dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan
atau Asfihan.
No comments:
Post a Comment