Nuffnang

Monday, 5 November 2012

MEMELIHARA PERSAUDARAAN ISLAM: Adab dan Cara-caranya Bahagian 4


Penulisan
Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya, disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah s.a.w hinggalah kepada pemimpin- pemimpin seterusnya.
Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu. Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya sangat disanjung tinggi.Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik dan bukan sebaliknya.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: 'Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.'
(Surah Asy-Syuara': 224-227)
Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut:
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:
Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya
.'
(riwayat Abu Daud)
Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah:
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.
(Surah al-Ahzab: 70-71)


OlehPanel Penulis JAKIM

No comments:

Post a Comment