Nuffnang

Sunday, 4 November 2012

MEMELIHARA PERSAUDARAAN ISLAM: Adab dan Cara-caranya Bahagian 3


Pertuturan Dalam Pergaulan
Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.
Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.
Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.
Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.
Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-gur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)
Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang 
(Surah al-Hujurat:11)
Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
Maksudnya:
Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'

(Surah al-Ahzab : 58)
Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)
Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)
Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:
Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)
Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda:
 Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)
Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)
Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)
Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)
Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'

OlehPanel Penulis JAKIM

No comments:

Post a Comment