Nuffnang

Thursday, 8 November 2012

MEMELIHARA PERSAUDARAAN ISLAM: Adab dan Cara-caranya Bahagian 7


Berhikmah
Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah S.W.T. memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya bercakap dengan cara yang paling lembut.
Firman AllaLh S.W.T:
Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.'
(surah Ali-Imran : 159)
AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.
Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...'

(Surah Fussilat : 34)
Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita.
Allah S.W.T. berfirman:
Maksudnya:
Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…'

(Surah Muhammad : 19)
Firman Allah S.W.T. lagi:
Maksudnya:
Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.'

(Surah al-Muddaththir: 1-4)
Allah S.W.T. juga berfirman:
Maksudnya:
'...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.
(Surah Ali-Imran : 79)
Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa.
Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam.
AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat.
Antaranya seperti firman Allah:
Maksudnya:
'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui'
(Surah al-Araf : 187)
Maksudnya:
'...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.'
(Surah Hud : 17)
Maksudnya:
'..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr: 176)
Maksudnya:
'...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.'
(Surah al-Hasyr :21)

OlehPanel Penulis JAKIM

No comments:

Post a Comment