Nuffnang

Friday, 2 November 2012

MEMELIHARA PERSAUDARAAN ISLAM: Adab dan Cara-caranya Bahagian 1


ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan 'inayah-Nya, satu risalah kecil yang membicarakan tentang adab-adab dalam memelihara persaudaraan Islam dapat diterbitkan pada masanya yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak semasa.
Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri.
Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan al-qur'an,hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan,pandangan dan sikap yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi yang keji.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan panel penulis JAKIM atas kegigihan menyiapkan risalah ini sehingga dapat diterbitkan tepat pada masa yang ditetapkan. Mudah-mudahan risalah ini menjadi panduan yang berguna kepada umat Islam seluruhnya terutama dalam membina perpaduan dan kekuatan ummah yang kini sedang hebat diserang oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.
BRIG.JEN.(B) DATO'ABDUL HAMID BIN HJ ZAINAL ABIDIN
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Pendahuluan
Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.
Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.
Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)
Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.

Oleh: Panel Penulis JAKIM

No comments:

Post a Comment